|
Demokrat Singapura
Dalam sejarah manusia terdapat terlalu banyak peristiwa di mana kekejaman diperlakukan oleh sebahagian manusia terhadap manusia yang lain. Mangsa kekejaman itu lazimnya berada di dalam keadaan yang lebih daif dari mereka yang melakukan kekejaman itu. Kedaifan ini boleh berpunca dari kemiskinan, kedudukan sebagai golongan minoriti, warna kulit yang bebeza dari yang dimiliki oleh pelaku kekejaman itu, pacal yang dianggap hina oleh raja yang zalim dan rakyat jelata di bawah pemerintahan yang tidak demokratik dan tamakkan kuasa. Keadaan politik yang lemah juga boleh menyebabkan sesuatu kumpulan itu tercabut hak asasinya.
Apa itu hak asasi manusia
Setiap manusia yang dilahirkan di dunia ini memiliki hak asasi yang sepatutnya menjamin kesejahteraan dan kebebasannya untuk meneruskan kehidupan tanpa diganggu gugat oleh mana-mana kuasapun asal saja dia mematuhi undang-undang dan peraturan yang digubal secara adil dan demokratik, mengikut lunas-lunas negara bertamadun. Malah seorang bayi yang baru lahir sekalipun memiliki hak untuk dipelihara, dibesarkan dan dilindungi mengikut kemampuan orang-orang yang bertanggung jawab terhadap dirinya.
Itulah sebabnya di dalam sesebuah negara yang bertamadun sekiranya seorang bapa atau ibu sekalipun didapati mendera dan menganiaya anaknya sendiri dan jika sabit kesalahannya ia boleh dihukum. Sebaliknya pula di dalam banyak negara, terutamanya negara-negara yang tinggi akhlaknya, ibubapa yang sudah lanjut umur dan tidak berupaya menyara kehidupannya sendiri juga diberikan hak untuk dipelihara dan dilindungi samada oleh oleh anak-anak mereka ataupun oleh masyarakat dan negara..
Di sebilangan negara, tidak kira yang telah maju mahupun yang sedang membangun, terdapat kisah-kisah yang menyayat hati. Ada yang dibunuh secara beramai-ramai seperti di Ruwanda, Kampuchea dan Bosnia.Terdapat juga kuasa besar atau adikuasa seperti Amerika Syarikat yang sewenang-wenangnya mencerobohi negara lain atas alasan mewujudkan demokrasi dan menghancurkannya tanpa disekat oleh mana-mana pihak. Ini semua berlaku walaupun terdapat undang-undang yang melarang perbuatan sedemikian. Yang anih dan menyedihkan pula negara-negara kecil yang di bawah pengaruhnya hilang pertimbangan, menjadi pak turut dan menyokong pencerobohan itu walaupun tidakan sedemikian tidak direstui Majlis Keselamatan.
Pengistiharan Hak Asasi Manusia Sejagat telah diterima oleh Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1948. Walaupun pematuhannya tidak diwajibkan ke atas setiap Negara, ia wujud sebagai satu lambang moral yang mencerminkan tahap tamadun sesebuah negara itu. Lebih meluas pelaksanaan hak-hak ini ke atas rakyat sesebuah negara, maka lebih tinggilah penghormatan yang diberikan kepadanya.
Hak asasi yang dimaksudkan ini, antara lain, juga meliputi kebebasan untuk melibatkan diri dalam ehwal politik, kebebasan bersuara dan berkumpul secara aman dan kebebasan untuk mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan pemerintah. Rakyat juga berhak untuk dilindungi undang-undang yang digubal secara adil dan saksama.
Mengapakah Hak Asasi Manusia itu Penting?
Sesetengah orang berpendapat bahawa hak asasi menusia merupakan satu konsep barat dan tidak sesuai dengan adat resam ketimuran. Dan bagi mereka tunjuk perasaan secara aman tidak sepatutnya menjadi amalan kita di sebelah timur.
Mungkin kita dipengaruhi pendapat bahawa mempertahankan hak asasi tidak penting asalkan perut kita kenyang dan terdapat serba sedikit kemewahan. Apa perlunya hak untuk menyuarakan pendapat dan berpolitik kerana semuanya telahpun ditangani oleh pemerintah atau kumpulan-kumpulan yang dilantik pemerintah? Mengapakah kita harus bersusah payah? Di negara kita tidak terdapat pembunuhan beramai-ramai ataupun kebuluran merata yang meragut nyawa.
Kepada mereka yang berpendapat sedemikian kami ingin memberikan perpektif yang berlainan. Kami ingin bertanya pula, apakah huraiannya terhadap dasar-dasar pemerintah yang kita anggap salah dan merugikan rakyat? Kalau kita enggan bersuara dan hanya diam membisu bagaimanakah mungkin kita menyedarkan pihak-pihak tertentu terhadap kesilapan yang dilakukannya?
Bagaimanakah kita selesaikan masalah elitisma yang dimalkan oleh pemerintah, di mana golongan berada menjadi lebih kaya dan menikmati segala yang terbaik? Dengan lain-lain perkataan, apakah yang boleh kita lakukan untuk mengecilkan jurang pendapatan antara yang kaya dengan rakyat biasa? Apakah kita berpuas hati dengan keadaan di mana para menteri menerima gaji berjuta-juta dolar sedangak rakyat biasa tidak termimpi akan menerima pendapatan sebegitu lumayan walaupun bekerja seumur hidup? Adakah ini adil namanya? Begitu istimewakah mereka?
Kalau kita tidak menegakkan hak asasi kita untuk bersuara, bagaimanakan dapat kita membantah pembanjiran pekerja-pekerja asing yang bukan sahaja menyempitkan ruang kehidupan dan secara mendadak telah merubah corak kehidupan sosial kita tetapi juga telah merampas pekerjaan dari rakyat kita sendiri? Bagaimana pula dengan soal diskriminasi yang diamalkan dalam angkatan bersenjata kita? Kita bukan sahaja dinafikan hak untuk mempertahankan negara sendiri tetapi dikecualikan dari mempelajari dan memahirkan diri dengan alat-alat serba canggih dan berteknologi tinggi yang diguna pakai dalam angkatan bersenjata kita.
Kalau kita dilarang berkumpul secara aman, walaupun hak berbuat demikian dijamin dalam Perlembagaan Negara, bagaimanakah dapat kita menunnjukkan kekuatan dan sokongan rakyat kepada golongan yang mempunyai fikiran alternatif? Bagaimanakah dapat kita beradu pendapat supaya rakyat boleh menilai dan membuat keputusan bijak?
Apa pula tindak balas kita jika terdapat penyalahgunaan kuasa oleh pihak-pihak yang memegang kuasa? Kalau diam membisu telah menjadi amalan dan telah sebati dengan kita, bagaimanakah hendak kita mengatasi keadaan ini?
Pemerintah PAP tidak akan pernah mengakui kesilapannya walau betapa ketarapun kesilapan itu. Dalam beberapa hal ia juga bertindak tanpa ketulusan dan sikap bertanggung jawab. Misalnya baru-baru ini berpuluh-puluh billion (ada mengatakan hampir dua ratus billion) wang rakyat yang dilaburkan di dalam instusi-institusi kewangan barat telah hangus begitu sahaja. Walaupun nyata ia satu kebodohan yang tidak sepatutnya dilakukan, ia dianggap perkara biasa sahaja tanpa melahirkan rasa kesal. Walaupun wang sebanyak itu dapat membiayai banyak keperluan setiap rakyat, termasuk keperluan perubatan, untuk berpuluh tahun, ia dianggap remeh sahaja. Apakah reaksi rakyat? Diam dan membisu sahaja! Jika ini menjadi budaya rakyat kita, lambat laun akan musnahlah apa yang telah dicapai selama ini.
Mari Tegakkan Hak Asasi Kita
Untukmengelakkan kemusnahan, kita sebagai rakyat harus menuntut dan menegakkan hak asasi kita untuk bersuara dan melibatkan diri dalam politik. Kita tidak seharusnya menyerahkan nasib kita kepada anggota-anggota parliament yang ada sekarang kerana mereka tidak mewakili kita tetapi hanya mewakili tuan-tuan mereka dalam PAP. Dengan gaji yang lumayan beranikah mereka mengambil pendirian yang berbeza dari pendirian tuan-tuan mereka? Tak mungkin! Lagipun mereka dipilih empat atau lima tahun sekali dalam pilihanraya yang tidak boleh dianggap bebas dan adil.
Oleh itu kita tidak seharus abaikan hak yang diberikan kepada kita dan termakhtub di dalam Perlembagaan Negara. Peri pentingnya hak asasi kepada rakyat jelata tidak dapat di sangkal. Kepentingan kita, kita sendirilah yang menjaganya.
|