Singapore Democrats

Home News Bahasa (Malay language) Kenapa Saya Bersama SDP
Kenapa Saya Bersama SDP Print Email
Sunday, 26 April 2009
Jufrie Mahmood

Jufrie MahmoodSetelah sekian lama menyepi kemunculan semula diri saya baru-baru ini telah menarik perhatian teman-teman rapat, dan yang tidak begitu rapat. Mereka bertanya, “Kenapa Jufrie, kenapa? Kalaupun kamu mahu terlibat semula kenapa tidak menyertai saja kumpulan-kumpulan yang lebih bersifat akur? Hidup kan lebih selesa dan kurang tertekan?” kata beberapa orang dari mereka.

Reaksi seperti ini telah membuat saya bertanya , “Pembangkang bagaimanakah yang diinginkan rakyat Singapura? Adakah keadaan yang wujud sekarang mencukupi dan dapat memenuhi kepentingan jangka panjang Singapura?  Kalau tidak, apa yang mesti dilakukan dan peranan apakah yang harus saya mainkan? Kelayakan saya tidaklah begitu tinggi, apa lagi sebagai seorang sarjana”.

Apa yang pasti ialah saya tidak akan melukut di tepi gantang. Saya mahu wujudkan kelainan dan berbuatnya dengan betul. Dan tentu sekali saya tidak akan berkelakuan seperti AP-AP Melayu yangada sekarang. Dalam pada itu pula, mestikan seseorang itu berada dalam Parlimen dahulu sebelum dia dapat membuat sumbangan yang bermakna?

Terdapat banyak isu yang harus ditangani. Soalannya ialah, dapatkah ia diurus dengan sempurna oleh orang-orang yang ada sekarang, yang menggelar diri mereka ahli-ahli politik? 

Ahli-ahli politik wujud dalam berbagai corak dan warna. Tetapi factor-faktor apakah yang mendorong seseorang itu berkecimpung di dalam bidang politik?

Ada yang benar-benar mahu membawa perubahan. Ramai hanya terlibat dengan sambil lewa sahaja. Terdapat juga mereka yang merasakan bahawa mereka dapat membuat perubahan dari dalam tetapi mendapati kaki dan tangan mereka diikat sebaik sahaja  mereka berada di dalam.   

Ada juga sebahagian yang bekerja kuat untuk memasuki parlimen, menggunakan rekod pencapaian dan nama baik sesuatu parti. Tetapi bila akhirnya mereka berjaya memasuki parlimen mereka menganggap keahlian mereka sebagai hak peribadi mereka sendiri. Dan ada pula sebahagian yang mulutnya di tampal dengan wang dolar yang bukan sedikit jumlahnya hinggakan mereka mendapatinya sukar untuk membukanya. Tidak kurang pula mereka yang mulutnya disumbat dengan berbagai-bagai keenakkan hinggakan mereka takut hendak membukanya, bimbang keenakan itu akan tercampak keluar. Yang lucunya ialah mereka yang membuka mulutnya sebesar mungkin,tetapi hanya untuk menguap kerana menahan ngantuk.

Terdapat pula sepasang yang berjaya memasuki parlimen tetapi sering membuat kesilapan hinggakan pengundi menjadi jemu dengan perangai badut mereka dan mengambil keputusan untuk menyingkirkan mereka.

Terdapat juga jenis yang menyerahkan jiwa-raga mereka kepada kepimpinan parti hinggakan tertutup mata mereka terhadap dasar-dasar yang mendiskriminasi kaumnya sendiri. Tidak kurang juga mereka yang ke hulu ke hilir, pura-pura menjadi ahli politik, tetapi tidak tahu hujung pangkal tentang apa yang ingin dilakukan.

Tentu sekali saya boleh terus menerus membuat ulasan tetapi cukuplah untuk kali ini kerana saya ingin berbicara sedikit tentang isu-isu yang harus ditangani oleh ahli-ahli politik berfikiran sirius dan anggota-anggota  badan bukan pemerintah (NGO).

Isu-isu Terdesak Yang Harus Ditangani

Saya akan menyentuh isu-isu ini secara ringkas dan berbincang lebih lanjut mengenainya setelah mendapat maklum balas dari teman-teman dan orang ramai.

1. Pertama sekali bagaimanakah dapat kita yakinkan orang ramai tentang hakikat bahawa mereka sebenarnya adalah tuan kepada nasib masa depan mereka sendiri. Jika kita dapat meyakinkan mereka kita dapat memberi kuasa kepada mereka untuk membawa perubahan. Sebahagian dari jawapannya terletak kepada keupayaan kita untuk mengeksploitasi sepenuhnya peluang-peluang yang diberikan oleh media baru. Kita perlu melibatkan seberapa ramai orang yang boleh untuk mencetuskan revolusi ini dan memboleh rakyat memiliki semula kehidupan mereka.

2. Seperkara lagi yang harus kita perhatikan ialah jurang pendapatan yang kian melebar. Bagaimanakah pemerintah boleh menjadi begitu kaya tetapi ramai rakyat masih hidup dalam kemiskinan? Jawapan yang munasabah mestilah  dapat dicari supaya perkara ini dapat diatasi.

3. Tidak kurang penting ialah keperluan yang mendesak untuk membasmi budaya rakus. PAP telah menunjukkan teladan yang jelek dengan membayar para menteri mereka gaji yang di luar jangkauan dunia. Budaya rakus ini telah membawa kepada keruntuhan sistem kewangan dunia. Apakah pengajaran yang boleh didapati dari keaipan ini? PAP harus mengambil iktibar daripadanya.

4. Bagaimanakah boleh kita membuat para pengendali harta negara menjadi lebih tulus dan bertanggung jawab kepada rakyat? Dapatkah kita menyarankan kepada mereka tentang bagaimanakah pelaburan kita boleh diperbagaikan dan tidak hanya dengan cara melabur ke dalam bank-bank?

Misalnya, kenapa tidak kita mengambil alih lombong-lombong arang batu ataupun simpanan minyak? Kita juga mampu menyewa bidang-bidang tanah secara besar-besaran di negara-negara jiran untuk menanam makanan dan menternak binatang dalam ladang-ladang yang modern dan menjual hasilnya kepada dunia? Ini tentu sekali memerlukan kerja jeras tetapi hasilnya cukup berbaloi.

Kita mempunyai modal kewangan dan kepakaran untuk melakukan apa yang dilakukan oleh Petronas di Malaysia dan membawa pulang keuntungan yang pukal dan tidak hanya mencari jalan mudah tetapi yang lebih berrisiko.

5. Kita harus mencari jalan untuk menghentikan penyusutan nilai kerakyatan kita yang sekarang ini dengan mudah diberikan kepada orang luar. Dalam lain perkataan, bagaimanakah kita hentikan kemasukkan secara beramai-ramai apa yang dipanggil bakat-bakat asing yang secara mendadak telah merubah lenskap sosio budaya negara kita yang tercinta ini? Mungkin PAP mempunyai agenda yang tersembunyi?

6. Apakah caranya untuk kita menafikan pendapat yang dilaung-laungkan oleh PAP bahawa Singapura sangat kekontangan bakat hinggakan tidak dapat menampung sistem dwi parti? Sebenarnya pendapat seperti ini bertujuan hanya untuk melindungi kepentingan PAP.

7. Bagaimanakah dapat kita alihkan semula arus penghijrahan keluar bakat-bakat asli kita? Warga-warga terpelajar dan mewah telah berhijrah keluar, terutamanya ke Australia dan sejauh Kanada, untuk melepaskan diri dari ketidak senonohan PAP.

8. Bagaimanakah dapat kita membuat media berlaku lebih seimbang  dan pisahkannya dari cengkaman PAP?

9. Apakah caranya untuk merubah sistem pilihanraya dan menghentikan PAP dari melayani para pengundi seperti monyet. Tentu ramai yang tahu apa maksud saya.

10. Bagaimanakah kita bentuk satu negara yang benar-benar berbilang kaum dan menghentikan dasar-dasar diskriminasi PAP terhadap orang-orang Melayu dengan menafikan peranan mereka untuk berkhidmat dalam angkatan bersenjata kita? Mereka juga berhak untuk mempetahankan negara mereka yang tercinta. Mengikut dasar sedia ada yang disalah rumus oleh mereka, orang-orang Melayu tidak dibenarkan berkhidmat di dalam banyak badan yang dikendalikan oleh angkatan bersenjata. Tentu sekali ini bukan caranya untuk membina satu negara yang bersatu padu.

Tentuk sekali saya boleh meneruskan perbincangan saya ini. Tetapi cukuplah untuk kali ini.

Kenapa SDP

Kepada mereka yang mempersoalkan tentang relevenya penglibatan saya dengan SDP, izinkanlah menjelaskan duduk perkara sebenarnya. Saya pernah pada satu masadulu memegang jawatan Naib Pengerusi SDP. Saya telah bertanding sebanyak dua kali dalam pilihanraya umum di bawah lambang SDP. SDP hari ini jauh berbeza dari SDP yang
dahulu. Di bawah pimpinan yang ada sekarang parti politik ini merupakan satu-satunya parti yang berani mencabar PAP secara terus terang. Dengan pemergian JB Jeyaretnam saya tidak melihat sesiapa di dalam barisan pemimpin pembangkang yang berani mencabar PAP secara yang sepatutnya.

Lebih dua puluh tahun dulu – kecuali tahun 1991 bila kita mempunyai empat orang – terdapat hanya dua atau tiga anggota pembangkang di dalam Parlimen, salah seorang darinya anggota tanpa kawasan undi. Adakah sifat akur atau ‘dengar kata’ membawa apa-apa perubahan?

Mungkin anda menganggap ini sebagai perbuatan yang bodoh. Tetapi hakikatnya ialah tidak akan ada perubahan tanpa mencabar kedudukan yang ada sekarang. Saya akur bahawa SDP dan barisan pimpinan atasannya sedang teruk dibelasah. Saya tidak berkata bahawa mereka tidak pernah membuat silap. Dr. Chee juga tidak sunyi dari membuat kesilapan. Apa kurangnya kita? Tetapi secara ikhlas, tidakkah dapat kita melihat bahawa sebab utama PAP mengambil pendirian yang tegar terhadap para pemimpin SDP ialah kerana mereka merupakan ancaman yang tulin kepada PAP. Oleh itu PAP berpendapat sebelum message yang dibawa SDP diterima ramai, parti tiu mestilah disekat. Dan cara sebaik-baiknya untuk melakukan ini ialah melimpuhkan pemimpin utamanya. Tetapi beliau tidak berhasrat untuk menyerah kalah. Perjuangannya berjalan terus.

Walaupun berada di luar Parlimen Dr. Chee telah membuat sumbangan yang lebih besar kepada  perjuangan pembangkang daripada sesiapapun. Tentu sekali PAP cuba memberikan gambaran yang sebaliknya. Apa yang dilakukannya secara terus-menerus tanpa jemu dalam penerbitan buku dan tulisan dalam lelaman webnya dengan mudah mengatasi sumbangan yang dibuat oleh lain-lain ahli politik pembangkang. Saya telah kembali untuk bekerja rapat dengan beliau dan yakin bahawa lebih ramai orang akan juga berbuat demikian dan melihat gambaran yang sebenarnya.

SDP hari ini merupakan satu pasukan yang benar-benar berbilang kaum. Sifat perundingannya memberikan peluang kepada setiap orang untuk menyuarakan pandangan masing-masing. Lebih ramai warga Singapura seharusnya mendekati dan mengenali parti ini dan barisan pemimpinnya, seperti yang telah dilakukan oleh ramai orang dan tidak sahaja mendengar apa yang diperkatakan oleh media tajaan PAP.

Saya tidak mengatakan bahawa SDP mempunyai jawapan kepada semua masalah serius yang dihadapi negara. PAP sendiri tidak mempunyai semua jawapan walaupun telah memeggang tapuk pemerintahan selama setengah abad. PAP terus-terusan melakukan kesilapan. Apa yang penting ialah isu-isu mestilah dibahaskan sepuas-puasnya bagi mengelakkan kesilapan. Ini akan hanya dapat dicapai jika terdapat sebuah parti alternatif untuk menandingi PAP.

Oleh itu message saya kepada rakyat Singapura ialah, bukalah minda anda dan carilah kebenaran tentang SDP baru ini. Marilah kita berusaha memberikan rakyat Singapura satu suara alternatif demi kepentingan masa depan generasi akan datang. Marilah sama-sama kita menuntuk semula negara yang tercinta ini.

Sedarlah bahawa masih terdapat ramai orang-orang miskin. Kenapa pula mesti kita berikan ganjaran yang tidak seimbang kepada orang-orang asing yang baru sahaja menjadi warga Singapura.hanya kerana memenangi pingat olimpik? Saya yakin mereka ke sini hanya kerana wang. Setelah mendapatinya tidak akan ada halangan bagi mereka untuk berhijrah ke tempat lain. Saya sedia bertaruh untuk membuktikan kebenaran kata-kata saya. Ini hanyalah salah satu contoh kesilapan yang dilakukan oleh PAP. Marilah sama-sama kita melakukan apa yang betul bagi Singapura. Ya, tentu sekali kita mampu melakukannya.
Share this article:
Facebook Technorati Stumble It! Newsvine Reddit Del.icio.us Digg This!
Comments (0)
Please login or register to post your comments.
 

Act Now

Support Democracy!
Please Donate
Read:The party that stands up for you
More options to donate
 

SDP Publictaions

Magazine Support SDP , buy our 30th Anniversary Magazine here

minsal
pdf
link

 

Danny the Democracy Bear

Now available online here!

 
Singapore Democrats on Facebook
Banner
Banner

Awesome Words

Who is more foolish, the child afraid of the dark or the man afraid of the light?

Maurice Freehill
Banner

News feeds

Singapore Democrat News
Joomla Templates by JoomlaShack